Sebagai seorang penjawat awam, guru khususnya, kita pasti terbiasa dengan frasa-frasa seperti 'kenaikan pangkat' dan 'kenaikan pangkat secara time-based kecemerlangan'.
Apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan frasa-frasa tersebut? Apa perbezaannya pula?
Kenaikan pangkat:
Kenaikan pangkat bermaksud apabila seseorang pegawai itu layak dipertimbangkan untuk menjawat gred jawatan yang lebih tinggi daripada grednya sekarang sekirannya gred jawatan yang tinggi itu mempunyai kekosongan untuk diisi.
Antara syarat-syarat umum yang perlu dipatuhi adalah seperti berikut:
- Jawatan gred tersebut kosong
- Pegawai telah disahkan dalam perkhidmatan
- Pegawai memenuhi kompetensi dan potensi yang ditetapkan
- Diperakukan oleh Ketua Jabatan / Perkhidmatan
Sebagai contoh, PPPD DG41 adalah layak dipertimbangkan bagi kenaikan pangkat ke jawatan PPP DG44 yang telah kosong apabila telah memenuhi syarat-syarat di atas.
Kenaikan Pangkat Secara Time-Based Kecemerlangan:
Kenaikan pangkat jenis ini adalah kenaikan pangkat paling biasa berlaku di sekolah atau pun di pejabat-pejabat pendidikan peringkat daerah dan negeri.
Kenaikan pangkat jenis ini juga tidak tertakluk kepada kekosongan jawatan TETAPI mengikut tempoh masa yang telah ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk perubahan setiap gred seperti contoh di bawah:
Gred DG41 ke DG44 - 8 tahun
Gred DG44 ke DG48 - 8 tahun
Gred DG48 ke DG52 - 6 tahun
Gred DG52 ke DG54 - 3 tahun
Contohnya, PPP DG44 yang telah cukup tempoh 8 tahun berada di dalam grednya layak untuk dipertimbangkan kenaikan pangkat ke DG48 secara time-based kecemerlangan setelah memenuhi syarat-syarat umum kenaikan pangkat yang biasa.