Sekolah vernakular jenis kebangsaan Cina di semenanjung dijangka menghadapi kekurangan lebih daripada 1,000 guru tahun depan, lapor Sin Chew Daily.
Menurut pemangku Presiden Kesatuan Ketua Sekolah Kebangsaan Chua Lay Kah, pada 16 Disember yang lau, sekolah-sekolah tersebut dikatakan kekurangan 1,087 guru.
Masalah ini begitu serius di Selangor, Johor, Pulau Pinang dan Perak, katanya dalam temu bual dengan akhbar tersebut.
Keadaan akan bertambah buruk pada tahun depan kerana seramai 448 orang guru akan bersara.
Bagi kakitangan bukan tenaga pengajar seperti guru besar, penolong kanan, kaunselor sekolah dan pustakawan, terdapat kekurangan 303 orang pada masa ini.
Chua menambah bahawa operasi sekolah akan terganggu teruk sekiranya tidak ada guru baru yang ditugaskan ketika sekolah bermula pada 20 Januari.
Dia mendesak Kementerian Pendidikan Malaysia untuk menempatkan graduan baharu daripada program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) serta menggunakan khidmat guru-guru interim untuk menangani masalah ini.
Dua minggu yang lalu, Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mah Hang Soon dilaporkan berkata bahawa sekolah di Kuala Lumpur dan Selangor dijangka menghadapi kekurangan 600 guru untuk penggal baharu bermula tahun depan.
Akhbar itu juga melaporkan bahawa 680 guru yang baru berkelayakan dari program PISMP pada bulan Jun tahun ini belum ditemuduga oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan untuk ditempatkan di sekolah-sekolah yang sepatutnya.
Menurut Dr Mah, Kementerian Pendidikan Malaysia telah membuka 647 jawatan kosong untuk guru interim tahun ini tetapi hanya 204 calon yang memohon dan hanya 21 yang lulus temu duga.