Thursday, 24 December 2020

Dasar Pengoperasian Pendidikan Rendah Wajib



Dasar ini bertujuan memastikan setiap ibu bapa warganegara yang menetap di Malaysia yang mempunyai anak mencapai umur enam tahun pada hari pertama tahun persekolahan semasa, mestilah mendaftarkannya di sekolah rendah. Di samping itu juga, ibu bapa perlu memastikan anak yang didaftarkan akan terus menjadi murid di sekolah rendah sepanjang tempoh pendidikan rendah.


Penyataan Dasar


Pendidikan wajib adalah satu undang-undang yang memerlukan setiap ibu bapa warganegara Malaysia yang menetap di Malaysia hendaklah memastikan bahawa jika anaknya mencapai umur enam tahun pada hari pertama bulan Januari dalam tahun persekolahan semasa, anak itu didaftarkan di sekolah rendah. Tempoh pendidikan wajib adalah selama enam tahun, iaitu tempoh pendidikan rendah.


Punca Kuasa



Kaedah Pelaksanaan


Proses Pendaftaran : Kementerian Pelajaran, Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pelajaran Daerah serta sekolah membuat pengumuman tentang pendaftaran anak-anak ke sekolah rendah dengan cara berikut:

 

  • Permohonan Pendaftaran Penempatan Ke Tahun 1 Ibu bapa adalah diminta membuat permohonan pendaftaran penempatan bagi anaknya untuk belajar di Tahun 1 di sekolah rendah yang berhampiran dengan tempat tinggalnya. Permohonan penempatan ini boleh dibuat di sepanjang bulan Mac. 
  • Pengesahan Penempatan Ke Tahun 1 Ibu bapa dinasihatkan membuat pengesahan penempatan ke Tahun 1 di sekolah rendah di mana anaknya akan ditempatkan apabila menerima maklumat berkenaan yang akan disampaikan oleh sekolah atau Pejabat Pendidikan Daerah atau Jabatan Pendidikan Negeri di sepanjang bulan Ogos. Penempatan seseorang kanak-kanak ke sesebuah sekolah tidak semestinya sama dengan yang dipohon semasa membuat permohonan penempatan. Atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan permohonan ke sesebuah sekolah yang dipohon boleh ditolak. 
  • Rayuan Pengesahan Penempatan Ke Tahun 1 Ibu bapa boleh membuat rayuan mengenai penempatan sekolah anaknya kepada sekolah atau Pejabat Pendidikan Daerah atau Jabatan Pendidikan Negeri. Sebarang keputusan yang telah dibuat hasil daripada rayuan adalah muktamad. Ibu bapa yang telah berpindah ke tempat tinggal yang baru hendaklah memberitahu sekolah tentang alamat barunya dan memohon supaya anaknya ditempatkan di sekolah baru mengikut alamatnya yang terkini.
  • Pendaftaran Hari Pertama Persekolahan Ibu bapa hendaklah membawa anaknya untuk berdaftar pada hari pertama persekolahan dengan membayar yuran-yuran yang dikenakan oleh sekolah berdasarkan kepada amaun yang telah ditetapkan dan diluluskan oleh Kementerian Pendidikan.
  • Pertukaran Sekolah Sebelum Pendaftaran Hari Persekolahan Ibu bapa yang telah membuat pendaftaran awal dan/atau telah mengesahkan penerimaan penempatan ke sekolah rendah tetapi berpindah ke tempat baru sama ada dalam daerah yang sama atau di negeri lain hendaklah memaklumkan kepada sekolah lama terlebih dahulu sebelum memohon untuk membuat pendaftaran baru ke sekolah di tempat tinggalnya yang baru. 


Kriteria Pelaksanaan 

  • Tempoh Pendidikan : Tempoh pendidikan wajib adalah selama tempoh pendidikan rendah, iaitu selama enam tahun. 
  • Tarikh Pelaksanaan Pendidikan Wajib : Pendidikan Wajib dilaksanakan mulai tahun persekolahan 2003 yang meliputi murid Tahun 1. 
  • Kanak-kanak Yang Terlibat : Kanak-kanak yang terlibat adalah mereka yang dilahirkan antara 2 Januari hingga 1 Januari pada tahun berikutnya. Contohnya, murid yang dilahirkan pada 2 Januari 2003 hingga 1 Januari 2004 adalah bagi persekolahan ke Tahun 1 pada tahun 2010. 


Penalti


Kegagalan ibu bapa memastikan anaknya mengikut pendidikan wajib merupakan satu kesalahan dari segi undang-undang. Ibu bapa yang disabitkan dengan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan tidak lebih 6 bulan atau kedua-duanya sekali.


Tarikh Kuatkuasa


1 Januari 2003.


Sumber: KPM


We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon