Tuesday, 22 December 2020

Apa itu Program Literasi dan Numerasi (PLaN) Sekolah Rendah?



Surat Siaran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Bil.18/2018 bertarikh 19 Disember 2018 telah memaklumkan bahawa amalan peperiksaan pertengahan dan akhir tahun murid Tahap l termasuk Program Saringan Literasi dan Numerasi (LINUS2.0) dimansuhkan mulai tahun 2019. 


Oleh yang demikian, sekolah diberi autonomi mengenal pasti murid Tahap l yang mengalami kesukaran menguasai literasi dan numerasi serta menyediakan intervensi yang bersesuaian di peringkat sekolah.


HALA TUJU PLaN


Hala tuju baharu Program Literasi dan Numerasi Sekolah Rendah berbeza daripada Program Saringan Literasi dan Numerasi yang dikenali sebagai Program LINUS2.0 (2013-2018) dalam tiga aspek, iaitu objektif, akauntabiliti dan sokongan seperti berikut:



Justeru itu, Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Kajian Kebolehlaksanaan Agenda Literasi dan Numerasi Nasional Bilangan 1 Tahun 2019 yang dipengerusikan oleh YBhg. Datuk Dr. Amin bin Senin, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia pada 5 Mac 2019 telah bersetuju untuk melaksanakan PLaN berdasarkan dapatan kajian tersebut mulai tahun 2020.


KAEDAH PELAKSANAAN



Syor Kajian Kebolehlaksanaan Agenda Literasi dan Numerasi Nasional telah mengetengahkan enam langkah intervensi dalam PLaN untuk dilaksanakan oleh pihak sekolah seperti yang berikut:


a. Bahan Pengajaran Harian yang Berfokus dan Terbeza bagi Bahasa Melayu, Matematik dan Bahasa Inggeris  


Modul Latihan Intervensi Berfokus dan Terbeza (MoLIB) bagi Bahasa Melayu dan Matematik serta Schemes of Work (SoW) bagi Bahasa Inggeris telah dibangunkan sebagai panduan serta rujukan kepada para guru untuk merancang pengajaran dan pembelajaran secara berfokus dan terbeza bagi pelaksanaan PdP yang lebih berkesan.


Objektif MoLIB:

  • Guru menguasai asas kemahiran pengajaran dan pembelajaran yang berkesan berdasarkan pelbagai aras kebolehan murid;
  • Guru melaksanakan pedagogi yang berfokus dan terbeza dalam meningkatkan penguasaan murid;
  • Guru berkeupayaan membangunkan bahan pengajaran dan pembelajaran berfokus dan terbeza berdasarkan keperluan murid.  

Muat Turun MoLIB

b. Pelaksanaan Profesional Learning Community (PLC) dalam meningkatkan pedagogi


Pendekatan PLC yang berfokuskan kepada perancangan pengajaran yang berkesan dapat membantu pihak sekolah menangani isu literasi dan numerasi. Penglibatan pegawai pemulihan, SISC+ dan SIP+ sebagai pasukan sokongan kepada pihak sekolah adalah penting. 

Guru digalakkan menggunakan pelbagai alat kolaboratif PLC seperti yang dinyatakan dalam Kit PLC. Melalui pendekatan PLC yang berkesan, guru dapat mengenal pasti isu, melaksanakan intervensi dan membuat refleksi untuk penambahbaikan PdP.  


Muat Turun Kit PLC

c. Penggunaan bank item pentaksiran formatif yang menyokong pentaksiran bilik darjah (PBD)

  

Guru boleh menggunakan bank item pentaksiran formatif yang telah dijajarkan dengan DSKP Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Matematik. 


Item pentaksiran yang telah disediakan dapat membantu guru menjalankan pentaksiran bilik darjah dengan lebih berkesan mengikut tahap keupayaan murid dalam kelas masing-masing.

Melalui bank item yang telah disediakan, guru boleh menggunakan item-item tersebut untuk mengetahui kemajuan murid dan membuat penambahbaikan dalam PdP berdasarkan penguasaan murid. 

Semua item yang dibuat berdasarkan Tahap Penguasaan 3 (TP3) seperti yang terdapat di dalam DSKP

d. Penambahbaikan pengurusan instruksional


Kompetensi pentadbir sekolah sebagai pemimpin pendidikan dipertingkatkan melalui bimbingan yang berterusan dan konsultasi oleh pihak PPD, School Improvement Partners (SIP+) dan KPM.

Pentadbir sekolah perlu memantapkan kepimpinan instruksional, meningkatkan pemahaman dan pengurusan isu literasi dan numerasi serta merancang intervensi bagi menyelesaikan masalah literasi dan numerasi dalam kalangan murid. 



Sehubungan itu, peranan Guru Besar sebagai pemimpin Instruksional adalah sangat penting dalam memastikan semua murid di Tahap 1 sekolah rendah, kecuali murid berkeperluan khas menguasai tahap minimum dalam literasi dan numerasi.  


e. Penetapan sasaran berdasarkan kemajuan murid (improvement-based targets)


Pihak sekolah bertanggungjawab untuk menetapkan sasaran (KPI) bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Matematik bagi murid Tahun 2 dan Tahun 3 berdasarkan kemajuan dan pencapaian murid mereka bagi memastikan usaha yang berterusan ke arah meningkatkan penguasaan dalam kemahiran membaca, menulis dan mengira. 

Dengan penetapan KPI, pengajaran dan pembelajaran (PdP) dapat dipastikan ke arah membina asas pencapaian baik sekolah. Pegawai JPN dan PPD tidak terkecuali dalam bekerjasama membantu pihak sekolah agar sasaran tahap penguasaan murid yang ditetapkan iaitu sekurangkurangnya TP3 tercapai.  


f. Pelaksanaan kempen kesedaran kepada ibu bapa

KPM turut menyokong usaha pelaksanaan kempen kesedaran terhadap isu pendidikan dalam kalangan ibu bapa dan komuniti khususnya untuk menangani murid yang belum menguasai literasi dan numerasi melalui aktiviti seperti hebahan media sosial, libat urus secara bersemuka dengan pelbagai pihak yang berkepentingan dan juga penyediaan bahan bercetak yang berkaitan. 

Sebagai ibu bapa, mereka boleh membaca bersama-sama anak, memberi pujian dan bermain sambil belajar dalam membantu anak-anak menguasai kemahiran-kemahiran ini. 

Penglibatan komuniti setempat dengan mengadakan pelbagai pendekatan sosial mampu meningkatkan perkembangan akademik anak-anak. 


Sumber: 

 



We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon