KUALA LUMPUR: Semua institusi pendidikan di Labuan yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan (KPM) akan ditutup bermula Sabtu ini hingga 30 Oktober ini.
Ia termasuk semua tadika, sekolah harian, sekolah berasrama penuh, sekolah swasta, kolej vokasional dan kolej matrikulasi di wilayah itu.
KPM dalam kenyataan hari ini berkata, penutupan itu selaras pengumuman Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bahawa Labuan akan dikenakan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), berkuat kuasa Sabtu.
"Keputusan ini akan membabitkan 31 institusi pendidikan dan seramai 19,262 murid dan pelajar. Penutupan ini juga akan membabitkan institusi pendidikan yang mempunyai asrama.
"Justeru, ibu bapa atau penjaga perlu mengambil murid atau pelajar yang tinggal di asrama tersebut untuk pulang," katanya.
Mengulas lanjut, KPM berkata, murid atau pelajar yang menunggu untuk diambil ibu bapa, atau murid yang ingin terus kekal berada di asrama institusi pendidikan sepanjang tempoh penutupan, akan berada di bawah penjagaan warden asrama.
Menurut KPM, keperluan makan dan minum murid dan pelajar itu sepanjang tempoh berkenaan akan disediakan oleh pihak institusi pendidikan.
"Bagi pelajar yang masih berada di asrama Kolej Matrikulasi Labuan, mereka dibenarkan untuk pulang tetapi perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh negeri destinasi masing-masing.
"Bagi murid yang perlu menduduki peperiksaan antarabangsa seperti yang dijadualkan, mereka perlu mendapatkan surat daripada sekolah masing-masing untuk menghadiri peperiksaan," katanya.
Mengenai sesi pembelajaran murid dan pelajar sepanjang tempoh penutupan itu, KPM mengarahkan pentadbir institusi pendidikan memastikan guru, pensyarah serta murid dan pelajar melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah.
Manual pengajaran dan pembelajaran di rumah boleh dimuat turun di portal rasmi KPM www.moe.gov.my.