Saturday, 24 October 2020

NUTP setuju KKM tidak dedah maklumat sekolah terkesan Covid-19

PETALING JAYA: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) menyeru agensi kerajaan tidak mendedahkan maklumat tempat membabitkan penularan wabak Covid-19, menyusuli sikap Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang tidak mendedahkan nama kawasan bagi mengelakkan stigma.


Setiausaha Agung NUTP Harry Tan Huat Hock berkata, apabila keadaan menjadi serius dan lebih banyak tempat diumumkan, ia akan menyebabkan panik dalam kalangan penduduk tempatan yang mungkin mengambil tindakan drastik sehingga dilihat mencetuskan keadaan huru-hara.


“Kesan negatif turut akan menimpa, murid terutamanya pelajar di sekolah rendah. Mereka mungkin menerima ejekan atau cacian, serta berkemungkinan dipulaukan walaupun setelah kembali ke sekolah dalam keadaan sihat selepas. Ia akan beri kesan psikologi yang teruk,” katanya kepada FMT.


Terdahulu Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, KKM tidak akan mendedahkan nama restoran, kondominium, sekolah atau pusat membeli-belah yang dilaporkan mempunyai kes Covid-19 bagi mengelakkan stigma.


Noor Hisham berkata, KKM sebelum ini menerima banyak tekanan supaya mendedahkan kawasan, keluarga, atau individu terbabit, namun enggan berbuat demikian kerana sedar akan bahaya stigma.


Sebelum ini Pengarah Pendidikan Perak pada 21 Okt dalam kenyataan memaklumkan kepada umum mengenai penutupan beberapa sekolah yang disahkan dikesan mempunyai jangkitan Covid-19.


Ketika ditanya apakah langkah tidak mengumumkan nama kawasan terkesan Covid-19 dilihat menyembunyikan maklumat daripada orang awam, Harry berkata, beliau menyerahkan keputusan itu kepada Putrajaya.


“Negara kita diserang teruk oleh Covid-19 dan kita mesti berikan ruang yang secukupnya kepada kerajaan untuk membuat keputusan,” katanya.


Dalam perkembangan sama, Persatuan Pemilik Kedai Kopi Malaysia-Singapura juga bersetuju dengan keputusan KKM semalam, yang menurutnya jika diumumkan akan memberi kesan negatif masa panjang ke atas pengusaha restoran, mengambil kira kesan membabitkan kluster Sivagangga.


Presidennya Ho Su Mong berkata, beliau bersetuju dengan kenyataan Noor Hisham itu, namun menegaskan bahawa isu membabitkan kesihatan harus diberi keutamaam oleh pemilik premis makanan atau kakitangan dan tidak boleh dikompromi.


BBeliau berkata, sekiranya ada gejala kecil yang timbul membabitkan Covid-19, ujian kesihatan perlu dilakukan segera serta langkah menutup kedai secara sukarela perlu dilakukan.


“Adalah mustahak untuk pekerja restoran atau pemilik premis itu sendiri menjalani pemeriksaan kesihatan jika wujud gejala. Pelanggan dan kakitangan juga diwajibkan memuat turun aplikasi MySejahtera. Dengan rekod itulah KKM boleh mengesan senarai pelanggan terlibat.


“Jadi isu kononnya pemilik menyembunyikan maklumat daripada pelanggan tidak timbul,” katanya.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Mohd Redzuan Md Yusof berkata, jumlah pengguna berdafter aplikasi MySejahtera mencecah 15.1 juta, setakat 16 Ogos.


Menurutnya, aplikasi itu dapat membantu Putrajaya mengesan pesakit Covid-19.


Sebelum ini juga, beberapa pusat membeli belah di ibu kota turut mengumumkan kepada masyarakat awam mengenai kes Covid-19 yang berlaku di premis mereka seperti dilakukan kompleks beli belah 1Utama.


We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon