Thursday, 1 October 2020

Kerajaan kaji harga vaksin COVID-19 antara RM21 hingga RM83 seorang

KUALA LUMPUR: Kerajaan meninjau harga indikatif pemerolehan vaksin COVID-19 antara AS$5 (RM21) hingga AS$20 (RM83) seorang, demikian kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin Abu Bakar.


Beliau berkata, kerajaan ketika ini sedang berbincang mengenai model pemerolehan bagi vaksin COVID-19 yang mana ia adalah sesuatu yang belum pernah dilakukan sebelum ini iaitu membeli produk yang belum dibuat, malah belum diluluskan lagi.


Justeru, katanya, kerajaan juga sedang mengkaji dari sudut tanggungjawab undang-undang mengenai pembelian awal vaksin berkenaan.


"Mengenai harga, kita sedang meninjau sekitar antara AS$5 (RM21) hingga AS$20 (RM83) bagi setiap orang. Ia adalah harga indikatif buat masa ini dan ia bergantung kepada rundingan.


"Ada beberapa vaksin ditawarkan kepada kita (pada harga) AS$5 dan ada juga lebih AS$20. Kita belum tahu lagi kerana ada beberapa vaksin mempunyai dos yang pelbagai dan kita perlu mengkajinya," katanya bagi mengulas mengenai keputusan kerajaan berkenaan pembayaran pendahuluan bagi memperoleh vaksin COVID-19.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran Redbeat Academy oleh AirAsia Digital dengan kerjasama Google di sini, hari ini.


Hadir sama, Pengerusi Eksekutif Kumpulan AirAsia, Datuk Kamarudin Meranun, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes, Presiden (AirAsia Digital) Kumpulan AirAsia, Aireen Omar dan Ketua Google Malaysia, Marc Woo.


Khairy juga berkata, kerajaan mempunyai pelbagai strategi dalam memperoleh vaksin COVID-19 termasuk berunding dengan syarikat farmaseutikal fasa ketiga pembangunan vaksin.


Beliau berkata, Malaysia juga sedang berbincang untuk menyertai pelan peruntukan vaksin COVID-19 global, COVAX yang dikendalikan oleh Pakatan Vaksin Global (GAVI).


Mengenai sama ada Malaysia menjadi tempat ujian klinikal vaksin COVID-19, Khairy berkata, pada awal penularan pandemik itu, Malaysia menawarkan diri untuk ujian klinikal.


Namun, katanya, dengan kes jangkitan di negara ini menurun, Malaysia tidak akan menjadi tempat ujian klinikal bagi vaksin berkenaan.


We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon