Thursday, 8 October 2020

Beri kuasa kepada PPD, JPN tentukan penutupan sekolah – NUTP


KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) wajar memberi kuasa kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) bagi mengawal penularan penyakit Covid-19 di sekolah.


Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang, berkata PPD dan JPN perlu diberi kuasa menentukan sama ada sekolah terutama sekolah rendah perlu ditutup atau sebaliknya mengikut penilaian tertentu.


“Bagi sekolah menengah tak ada isu (sekolah dibuka seperti biasa) kerana dari segi prosedur operasi standard (SOP) masih boleh dikawal.


“Namun, menjadi persoalan kini adalah murid sekolah rendah. Kita berpendirian lebih baik jika sekolah rendah ditutup tapi bukan semua kawasan.


“Ini bermakna PPD dan JPN diberi ‘authority’ sementara waktu ini untuk menutup mana-mana sekolah yang pada pertimbangan mereka wajar ditutup,” katanya ketika dihubungi Malaysiapost hari ini.


Aminuddin berkata, situasi semasa Covid-19 telah menimbulkan kegelisahan dan kebimbangan dalam kalangan masyarakat, khususnya ibu bapa.


“Sekarang ini walaupun berlaku kegelisahan warga sekolah dan ibu bapa.. sekolah masih dibuka jadi terpaksa rujuk KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) dan MKN (Majlis Keselamataan Negara) dalam membuat keputusan.


“Tetapi dalam hal ini, kita harap PPD dan JPN diberikan kuasa membuat keputusan segera.


“Sekiranya, pertimbangan mereka itu, sekolah-sekolah dalam kawasan pentadbiran masing-masing itu wajar ditutup atas faktor bagi menghalang merebaknya Covid-19 ini, maka ia wajar ditutup,” katanya.


Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan penutupan sekolah hanya dilakukan di kawasan zon merah yang menyaksikan peningkatan kes Covid-19.


Kawasan-kawasan tersebut setakat ini adalah Kota Kinabalu, Penampang, Putatan, Tawau, Lahad Datu, Kunak dan Semporna di Sabah.


Di Klang, Selangor, sesi persekolahan masih diteruskan walaupun daerah itu dikategorikan sebagai zon merah.


Hanya tujuh kelas melibatkan dua sekolah di situ ditutup selepas pelajar dan gurunya diarah menjalani kuarantin di rumah kerana mempunyai kontak rapat dengan individu yang positif Covid-19.


We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon