![]() |
Imej via Bernama |
ALOR SETAR: Hanya guru, kakitangan dan pelajar yang disahkan negatif COVID-19 di Kota Setar dibenarkan kembali ke sekolah masing-masing bermula Ahad ini.
Bagaimanapun, guru, Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) dan pelajar yang belum mendapat keputusan ujian saringan tidak perlu hadir ke sekolah, sebaliknya terus menjalani kuarantin di rumah.
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah dalam kenyataan hari ini berkata, mereka perlu menunggu keputusan saringan COVID-19 diperoleh daripada Kementerian Kesihatan.
"Terdapat 16 sekolah terbabit dalam ujian saringan COVID-19 iaitu Kolej Vokasional Alor Setar, Maktab Mahmud Alor Setar, Kolej Sultan Abdul Hamid, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Sharifah Rodziah, SMK Sultanah Asma dan SMK Tajar.
"Turut terbabit adalah SMK Tunku Abdul Malik, SMK Alor Merah, Kompleks Pendidikan Islam Darul Hidayah, Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Amar Diraja, SK Sekolah Kebangsaan Taman Rakyat, SK Taman Aman, SK Jalan Datuk Kumbar, SK Kampong Gelam, Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR) Sri Ummi dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC ) Keat Hwa," katanya.
Menurutnya, guru dan AKP yang 'ditanda' sebagai Bekerja Dari Rumah (BDR) serta pelajar yang mempunyai ahli keluarga positif COVID-19 juga tidak perlu hadir ke sekolah.
Katanya, bagi sekolah yang tidak terbabit dalam ujian saringan, semua warga sekolah perlu hadir ke sekolah seperti biasa berkuat kuasa Ahad ini.
Hari ini, kerajaan bersetuju arahan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran di Kota Setar ditamatkan.
Bagaimanapun, kerajaan melanjutkan PKPDP Secara Bersasar di Rumah Pangsa Tongkang Yard, Seberang Perak, di sini, sehingga 7 Oktober depan.