Bukit Mertajam: "Pelbagai impian dan rancangan saya atur dengan isteri jika dia ada rezeki untuk ditukarkan mengajar di Semenanjung namun kini semuanya tinggal kenangan," kata Muhammad Faisal Mohd Noor@Alias, 32 suami kepada Nur Anisah Othman, 29, seorang guru yang maut dalam kemalangan di Kampung Long San, Miri, Sarawak, Khamis lalu.
Menyifatkan arwah isterinya seorang yang manja dan sukakan kejutan, Muhammad Faisal berkata, selepas mendirikan rumah tangga pada 16 Ogos tahun lalu mereka berdua hidup berjauhan ekoran tuntutan kerja masing-masing.
Katanya, dia bekerja di sebuah bank di Kuala Lumpur manakala Nur Anisah pula bertugas di Sekolah Kebangsaan (SK) Lio Mato Baram, Miri, Sarawak.
"Arwah mengadu dia mahu sangat bertukar dan balik mengajar di Semenanjung namun permohonannya sentiasa gagal.
"Masalah pertukaran ini bukan hanya dihadapi arwah isteri, tetapi ramai guru lain. Saya berharap Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dapat memandang serius isu ini apatah lagi guru di pedalaman bergadai nyawa untuk mengajar murid di sana," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Jenazah Nur Anisah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Cherok Tokun, di sini pada 2 pagi.
Hujan renyai mengiringi ketika urusan pengebumian jenazah yang dihadiri lebih 100 individu terdiri daripada ahli keluarga, sahabat dan penduduk kampung.
Dalam pada itu, Muhammad Faisal berkata, kali terakhir dia bertemu isterinya adalah pada 27 Ogos lalu ketika menghantar isterinya ke lapangan terbang selepas tempoh bercuti tamat.
"Sebelum itu, saya ada buat kejutan kepada isteri dengan menghadiahkannya bunga sempena ulang tahun pertama perkahwinan kami.
"Memang menjadi kebiasaan saya setiap kali dia balik mesti ada kejutan sebab isteri seorang yang sangat suka pada kejutan tetapi kali ini dia pula yang bagi kejutan apabila pergi buat selama-lamanya," katanya.
Menurutnya, dia bersyukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang mempermudahkan urusan penghantaran dan pengebumian isterinya di kampung halaman.
"Pada asalnya amat sukar kerana kawasan itu sangat jauh, namun saya bersyukur kerana ramai membantu untuk memudahkan urusan membawa pulang arwah isteri untuk disemadikan di kampung orang tuanya.
"Saya memang terkejut menerima panggilan memaklumkan isteri sudah tiada namun saya reda dengan ketentuan ini," katanya.
Khamis lalu, Nur Anisah maut selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki bersama tiga rakannya terbabas dan terjunam ke dalam gaung di Kampung Long San kira-kira 220 kilometer dari Miri, Sarawak.
Mereka terbabit kemalangan ketika dalam perjalanan pulang ke sekolah selepas tamat tempoh kuarantin di sebuah hotel.
Tiga rakannya hanya mengalami kecederaan.