![]() |
Imej via New York Post |
Seorang guru yang hamil lapan bulan dilapor tidak sempat menimang cahaya matanya apabila meninggal dunia selepas dijangkiti COVID-19 dipercayai ketika acara sambutan baby shower dianjurkan rakan-rakannya.
Menurut New York Post, Camila Graciano, 31 sebelum itu berjaga-jaga dengan meminimakan kontak dengan orang ramai bagi melindungi diri dan anaknya daripada pandemik.
Pun begitu, mangsa akhirnya dijangkiti virus itu dipercayai selepas menghadiri acara mengejut baby shower yang dianjurkan rakan sekerja buatnya.
Jangkitan dipercayai berpunca daripada salah seorang hadirin yang disyaki positif COVID-19 dan tidak bersimptom ketika acara berkenaan.
Menurut keluarga Camila, individu itu hanya mula menunjukkan simptom selepas sambutan itu.
Camila kemudiannya dibawa ke hospital tiga hari kemudian dan ditempatkan di dalam wad materniti pada 19 Ogos lalu.
Mangsa kemudiannya terpaksa melahirkan bayinya secara pramatang bagi menyelamatkan bayi tersebut. Bayi berkenaan dilaporkan dalam keadaan baik.
Menurut laporan, Camila menunjukkan reaksi positif selepas melahirkan. Pun begitu, keadaannya kembali merosot pada 21 Ogos lalu sebelum meninggal dunia sehari kemudian.
Setakat ini, sebanyak lebih 4 juta kes COVID-19 dicatatkan di Brazil dengan lebih 124,000 kematian dilaporkan akibat virus itu.