![]() |
Gambar hiasan |
Nampak gayanya penulisan Izyan Qistina Qusairi berkenaan tanggungjawab guru selepas waktu sekolah berakhir belum lagi reda dengan pendapat-pendapat balas daripada netizen, NGO dan juga individu-individu.
Terbaru, seorang pengamal undang-undang, Dr Hazizah Kassim yang juga penulis buku Literasi Undang-Undang Untukmu Guru telah melontarkan pendapatnya daripada sudut pandang perundangan berkenaan tanggungjawab guru selepas waktu persekolahan.
Menurut Dr Hazizah, guru mempunyai hubungan yang sangat istimewa di antara anak-anak muridnya.
Guru juga merupakan 'ibu bapa ganti' kepada murid-murid ini ketika berada di kawasan sekolah dan mereka telah mengambil tanggungjawab ini dengan menyediakan langkah-langkah yang relevan bagi mengelakkan daripada kecederaan yang boleh diramal.
"Oleh yang demikian, sampai bilakah tugas itu akan dipikul oleh guru-guru sebagai 'ibu bapa gantian'?
"Dari masa anak mula masuk ke kawasan pagar sekolah, sehingga anak keluar meninggalkan perkarangan sekolah, saya percaya, tugas guru sebagai 'ibu bapa gantian' relevan pada waktu itu sahaja," jelas beliau.
Namun begitu, menurut beliau lagi, selepas anak keluar daripada persekitaran sekolah, tugas guru sebagai 'ibu bapa gantian' telah pun tamat dan tanggungjawab itu kembali kepada ibu bapa mereka yang sebenar.
"Dalam konteks ini, sebagai ibu bapa, kita harus memahami bahawa apabila anak keluar daripada kawasan sekolah, apa sahaja perkara yang berlaku pada ketika itu, tanggungjawab sudah berada di atas bahu ibu bapa dan bukan lagi guru," tegas beliau lagi.
Rakaman video beliau boleh ditonton dalam laman Facebook Literasi Undang-undang Untukmu Guru.