Saturday, 26 September 2020

CUEPACS mahu kadar gaji minimum itu dimasukkan di dalam Belanjawan 2021

KUCHING: CUEPACS menggesa kadar gaji minimum baharu penjawat awam dimasukkan di dalam Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan bulan depan.


Presiden CUEPACS, Adnan Mat, berkata itu tuntutan terbaru pihaknya berikutan masih ramai penjawat awam yang berpendapatan di bawah paras kemiskinan.


Justeru katanya, CUEPACS akan memaklumkan secara rasmi tuntutan itu kepada Kementerian Kewangan pada sesi perbincangan berhubung keperluan dalam Belanjawan 2021.


"CUEPACS mahu kadar gaji minimum itu dimasukkan di dalam Belanjawan 2021 untuk dilaksanakan pada tahun-tahun akan datang dan ia hendaklah diseragamkan dengan hasil kajian gaji minimum oleh Bank Negara iaitu sebanyak RM2,700, kajian Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) iaitu RM2,480 dan kajian CUEPACS sendiri iaitu RM2,620.


"Ketika ini gaji minimum penjawat awam adalah sebanyak RM1,200 iaitu jauh di bawah garis kemiskinan yang diisytiharkan kerajaan iaitu RM2,208," katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Sijil Penghargaan Petugas Barisan Hadapan COVID-19 dan sambutan Hari Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran (PPKP) di Auditorium Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), di sini, hari ini.


Adnan berkata, pihaknya berharap agar tuntutan itu mendapat perhatian sewajarnya sebagai penghargaan kepada penjawat awam.


Mengenai bonus kepada 1.6 juta penjawat awam tahun ini, Adnan berkata, terpulang kepada kerajaan untuk memutuskannya.


"Sebelum ini, kita tuntut tiga bulan pun, tetapi yang dapat hanya RM500, jadi kali ini kita serahkan kepada kerajaan untuk membuat keputusan.


"Namun, bonus bagi penjawat awam adalah keperluan mendesak dan perlu dihargai kerana walau kerajaan bertukar tiga kali sejak 2018, kami tetap menjalankan tugas kami menyampai dan melaksanakan dasar kerajaan," katanya.


Selain itu, beliau berkata CUEPACS juga akan menuntut elaun penguat kuasa bagi Pegawai Kesihatan Persekitaran (PKP) dan Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran (PPKP) yang berdepan pelbagai kerenah orang awam ketika melaksanakan tugas terutamanya ketika menguatkuasakan Akta Kawalan Tembakau dan Akta Pencegahan Penyakit Berjangkit.


"PPKP berdepan pelbagai cabaran seperti diancam, dihalau malah dikejar haiwan peliharaan ketika melaksanakan tugas pemeriksaan dan menyampaikan saman kepada orang awam yang melanggar akta berkenaan.


"Sebab itu mereka sepatutnya mendapat elaun penguat kuasa seperti yang diterima anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna serta penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT)," katanya.


We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon