KUALA LUMPUR: Seorang pelajar Tingkatan Lima maut dalam kemalangan selepas motosikal ditunggangnya terbabit kemalangan dengan sebuah kereta dipandu seorang pemandu mabuk, di Jalan Raja Laut di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, mangsa, Muhammad Hazeq Hakimi Romli, 17, yang menunggang Yamaha Y15 maut di tempat kejadian akibat parah di kepala.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya, berkata kemalangan berlaku selepas kereta PERODUA Myvi dari susur Jalan Sri Amar, Chow Kit mengubah laluan secara melintang untuk masuk ke Lorong Tiong Nam di laluan itu.
"Pada masa sama penunggang motosikal yang bergerak lurus di Jalan Raja Laut gagal mengelak dan melanggar pintu sisi depan bahagian kiri Myvi berkenaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Zulkefly berkata, mangsa yang juga calon SPM Sekolah Menengah Kebangsaan Lembah Keramat, disahkan meninggal dunia di lokasi dan mayatnya dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.
"Pemandu Myvi diarahkan menjalani ujian pernafasan menggunakan alat Evidential Breath Analyzer (EBA) dan didapati paras alkohol dalam tubuhnya melebihi paras dibenarkan.
"Lelaki berusia 36 tahun yang bekerja sebagai pelatih anjing itu kini direman empat hari bagi membantu siasatan," katanya.
Kemalangan itu disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.