BARU-BARU ini seorang guru sekolah berusia 54 tahun dari Sekolah Kebangsaan
Batu Gajah di Tanah Merah, Kelantan maut akibat terjatuh dari balkoni tingkat
1 bangunan sekolah berkenaan.
Kejadian itu berlaku ketika beliau sedang memeriksa bekalan air untuk sinki di
sekolah. Insiden menyayat hati ini mesti dipandang serius oleh Kementerian
Pendidikan.
Allahyarham Rosli Abdul Aziz menjalankan tugasnya ketika membuat persiapan
terakhir untuk pembukaan semula sekolah yang sekian lama ditutup kerana
penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Saya mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham. Tragedi seperti ini
dapat dielak sekiranya konsep keselamatan dan kesihatan di tempat kerja
dipraktikkan di sekolah. Berdasarkan tragedi terbaru ini, saya ingin menyeru
agar Kementerian Pendidikan dapat memperkenalkan program khususnya keselamatan
dan kesihatan pekerjaan (OSH) di sekolah. Ia penting sebagai sebahagian usaha
untuk memberi kesedaran dan meningkatkan keselamatan di tempat kerja di
sekolah kepada semua guru dan kakitangan.
Program ini wajar dilaksanakan memandangkan sekolah sebagai tempat kerja
sesuai dengan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA) 1994.
Undang-undang ini merangkumi semua industri yang menggunakan 'orang di tempat
kerja' dan 'yang lain'. Dalam kes sekolah, terma 'orang yang bekerja' adalah
guru, pentadbiran dan staf sokongan yang lain. Sementara terma 'yang lain'
merujuk mereka yang dipengaruhi oleh aktiviti orang yang bekerja terutamanya
pelajar.
Penerapan OSHA 1994 ke sekolah sebagai tempat kerja bertujuan menjadikan
sekolah selamat dan sihat untuk guru, pelajar dan pelawat. Matlamat utama
program ini adalah bertujuan untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan
kesejahteraan bagi mereka yang bekerja.
Selain itu ia juga bertujuan melindungi pelajar daripada risiko keselamatan
dan kesihatan yang berkaitan aktiviti orang di tempat kerja. Program OSH juga
mampu mewujudkan persekitaran kerja yang selamat dan sihat (pejabat, makmal,
kantin, tandas, asrama, padang dan lain-lain) sesuai dengan psikologi dan
fisiologi orang yang bekerja.
Kesedaran OSH tidak boleh terhad kepada guru dan kakitangan sekolah
sahaja, tetapi turut diterapkan kepada pelajar. Ini dapat dilakukan melalui
pendidikan, kesedaran, latihan dan pameran. Latihan dan penyebaran maklumat
adalah elemen utama dalam memastikan bahawa pekerja mengetahui risiko yang
mereka hadapi di tempat kerja dan cara bekerja dengan selamat untuk menangani
risiko berkenaan. Selain itu, memupuk kesedaran pada peringkat awal seperti di
sekolah sangat penting dalam mewujudkan tempat kerja yang selamat dan sihat.
Diharapkan program OSH di sekolah dapat memberi manfaat kepada pelajar yang
akan membentuk tenaga kerja masa depan negara dan akhirnya menyumbang untuk
menjadikan keselamatan di tempat kerja sebagai budaya dan cara hidup.
Melalui
latihan, pendidikan serta promosi keselamatan dan kesihatan, pihak sekolah
akan lebih menyedari potensi bahaya keselamatan dan kesihatan di semua
bahagian sekolah dan lebih bersedia menghadapinya. Kerja penyelenggaraan untuk
semua bangunan sekolah dan kemudahan lain juga harus diberi perhatian serius
oleh Kementerian Pendidikan dengan menyediakan kakitangan teknikal yang lebih
mahir di semua sekolah daripada bergantung kepada guru semata-mata untuk
melakukannya.
Tan Sri Lee Lam Thye
Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat